Tuesday, May 22, 2012

Dinar Emas



Dinar emas merupakan syiling emas yang telah diguna pakai sebelum zaman Islam dan diterima penggunaannya pada zaman Rasulullah s.a.w, sahabat dan para tabiin sehingga ia dikenali sebagai mata wang umat Islam. Penggunaannya berterusan sehingga zaman kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Manakala dinar emas zaman moden mula ditempa pada tahun 1992 di Dubai dan cadangan untuk memartabatkan kembali penggunaannya mula dibahaskan setelah negara-negara ASEAN dilanda krisis mata wang yang teruk pada tahun 1997/98.

Justeru, satu kajian telah dibuat dengan tujuan untuk mendedahkan semua aplikasi semasa dinar emas yang telah diamalkan di Malaysia setelah 10 tahun cadangan dibuat. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa terdapat beberapa penggunaan dinar emas antaranya sebagai mata wang fizikal dan sistem pembayaran elektronik (edinar), pelaburan, simpanan, urusan haji, pembayaran zakat, cenderamata dan sebagai hantaran perkahwinan. Kajian ini telah membuktikan bahawa dinar emas sudah mula diterima oleh sebahagian masyarakat Malaysia dan sekali gus usaha memartabatkan penggunaannya boleh direalisasikan. Sila rujuk link ini untuk laporan penuh kajian tersebut : Realiti Semasa Penggunaan Dinar Emas di Malaysia

Isu untuk memartabatkan kembali penggunaan dinar emas ini mula dibincangkan secara meluas dalam tahun 1998-2002 iaitu sewaktu negara-negara Asia dilanda krisis mata wang yang teruk. Pada tahun 2001 Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri Malaysia telah mengutarakan cadangan kepada OIC bagi menggunakan dinar emas dalam perdagangan antarabangsa. Saranan dan usaha beliau ini telah membuka mata kepada penganalisis ekonomi, ahli akademik dan para cendekiawan Islam untuk meneliti dan mengkaji kewajaran penggunaan kembali dinar emas di abad ini.

Bermula tahun 2001 sehingga sekarang terdapat banyak seminar, bengkel dan forum telah di adakan bagi mencari mekanisme yang sesuai untuk memartabatkan semula penggunaan dinar emas. Nama-nama seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad, Profesor Dr Umar Ibrahim Vadillo, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Syaikh Abdul Kadir al-Murabit, Syaikh Imran N. Hosein adalah merupakan individu yang banyak terlibat dalam mempromosi dan melaksanakan dinar emas di Malaysia khususnya dan di dunia amnya.

Simpanan dinar emas sebagai aset juga merupakan satu pelaburan yang baik berbanding dengan pelaburan-pelaburan biasa yang tidak berasaskan emas. Pelaburan dinar emas akan memberi jaminan nilai dan lebih selamat. Disini saya berikan 10 sebab untuk kita semua perlu memilih emas sebagai pelaburan :

  1. Tiada risiko kehilangan semua wang walaupun nilai pasaran emas sentiasa berubah.
  2. Kadar pertukaran lebih perlahan dan stabil berbanding dengan pelaburan instrumen lain.
  3. Tidak membawa risiko kredit dan merupakan aset yang selamat.
  4. Emas lebih cair berbanding aset alternatif lain.
  5. Emas bukan tanggungan sesiapa.
  6. Mempunyai rekod jangka panjang yang baik dalam mengekalkan nilai sebenar.
  7. Selamat dan aset kewangan yang terjamin.
  8. Komoditi yang bernilai dan kukuh yang mempunyai potensi untuk nilai yang sentiasa meningkat.
  9. Digunakan sebagai alat terhadap inflasi.
  10. Satu objek perhiasan dan kecantikan yang tiada tandingan.

No comments:

Post a Comment